Saturday, April 3, 2010

Minum Banyak Air Baik Untuk Buah Pinggang


Oleh : NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

PENINGKATAN jumlah pesakit mengalami masalah kegagalan buah pinggang bukan memeranjatkan, walaupun angkanya kian membimbangkan.

Walaupun berkali-kali diadakan pelbagai kempen menyayangi buah pinggang, masih ramai tidak mengendahkannya.

Kebanyakan masalah buah pinggang dikesan terlalu lewat, iaitu apabila kerosakan sampai ke tahap serius. Ini menyebabkan ramai pesakit terpaksa bergantung kepada mesin dialisis untuk membersihkan darah bagi membolehkan mereka meneruskan hidup.

Masalah kegagalan buah pinggang boleh dielakkan melalui amalan gaya hidup sihat dengan bersenam dan penjagaan makanan. Namun bagi kebanyakan orang, dua faktor ini payah dilakukan, walaupun ramai sedar ia asas utama kesihatan dan boleh mengelakkan pelbagai penyakit kronik.

Kurang kesedaran menjaga kesihatan buah pinggang juga menyebabkan kita selalu mengabaikan gejala awal dan menganggapnya sebagai perkara biasa akibat peningkatan umur. Jika tidak dirawat awal, penyakit ini akan menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kematian.

Menurut perunding nefrologi, Dr Tan Wee Ming, masalah paling utama ialah tanggapan salah mengenai simptom yang ditunjukkan dan menganggap ia akan hilang selepas tempoh tertentu. Sebenarnya simptom ini adalah cara badan memberitahu kita ada organ mula mengalami masalah.

Antara simptom yang perlu diperhatikan ialah:

Bengkak pada muka khususnya keliling mata, pergelangan tangan, abdomen, paha dan buku lali.
 
1. Air kencing berbuih.
 
2. Air kencing bercampur darah.
 
3. Air kencing berubah warna menjadi pekat dan gelap.  
 
4. Jumlah air kencing berkurang.
 
5. Mengalami masalah dan berasa sakit serta pedih ketika buang air kencing.
 
6. Tabiat buang air kecil berubah dan lebih kerap pada waktu malam.
 
7. Belakang badan (di bahagian tengah, terutama di bawah tulang rusuk iaitu kedudukan buah pinggang).
 
8. Tekanan darah tinggi.

Dr Tan berkata, jika mengalami mana-nama gejala di atas, ini bermakna tiba masa anda mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan beberapa ujian sebelum masalah sebenar diketahui.

“Masalah buah pinggang yang tidak dapat berfungsi dengan baik boleh berlaku sesekali atau bersifat sementara. Jika ia disebabkan kecederaan atau jangkitan, buah pinggang akan kembali berfungsi secara normal selepas sembuh.

“Bagaimanapun dalam sesetengah kes, ia mungkin memerlukan rawatan lanjutan seperti pembedahan. Bagi masalah buah pinggang kekal seperti dialami pesakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, mereka mungkin perlu menjalani dialisis sepanjang hayat,” katanya.

Apabila hidup bergantung kepada mesin dialisis, pesakit perlu banyak berkorban dan mesti bersedia membuat perubahan pemakanan. Dialisis bukan penawar dan ia tidak akan memperbaiki buah pinggang yang rosak.

Ia adalah sistem sokongan yang membolehkan pesakit meneruskan kehidupan. Justeru, tabiat pemakanan perlu diubah supaya fungsi buah pinggang (walaupun sedikit) dapat dikekalkan. Ketika ini buah pinggang memerlukan jumlah cecair, protein, garam, fosforus dan potassium secukupnya.

Masalah buah pinggang boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu :
 
1. Batu Karang — berlaku akibat penghasilan hablur dalam buah pinggang. Ia boleh disebabkan kurang cecair dalam badan, terutama air. Ini sebabnya kita perlu minum sekurang-kurangnya satu liter air sehari untuk mengelak pembentukan hablur atau batu karang. Kadangkala pesakit berasa sakit ketika kencing kerana hablur keluar bersama air kencing.
 
2. Penyakit Polisistik Ginjal — ini adalah keadaan apabila berlaku pembentukan kaviti atau sista dalam buah pinggang. Sesetengah sista tidak menyebabkan masalah kegagalan buah pinggang, tetapi ia boleh membesar hingga menyebabkan buah pinggang gagal berfungsi. Ada kalanya masalah ini tidak mempunyai simptom, tetapi ada juga pesakit mengalami pendarahan dalam kencing.
 
3. Pyelonephritis — ia merujuk kepada jangkitan buah pinggang disebabkan bakteria atau virus. Jenis paling biasa akan menyebabkan saluran air kencing tersekat. Sekatan ini boleh berlaku pada tiub ureter (tiub yang menyambungkan buah pinggang dengan pundi kencing) atau saluran keluar dari pundi kencing.

Sesetengah kes sekatan berpunca daripada batu, bengkak atau parut pada ureter, jangkitan kronik atau ketumbuhan.
 
1. Refluks Buah Pinggang — ia bermakna air kencing mengalir balik ke pundi kencing melalui ureter dan memasuki buah pinggang. Masalah ini tiada simptom atau gejala tertentu. Jika ada jangkitan, refluks juga boleh menyebabkan jangkitan pada buah pinggang yang menyebabkan sakit belakang.

Bagaimanapun, refluks atau aliran songsang air kencing tiada kaitan dengan masalah tidak berdaya menahan kencing, kecuali jika pesakit turut mengalami jangkitan salur kencing, dilahirkan dengan saluran buah pinggang tidak normal (kongenital) atau ada gangguan fungsi pundi kencing.
 
2. Mesangial Proliferative Glomerulonephritis — simptom penyakit ini kadangkala disalah anggap dengan masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi, bengkak dan anemia. Ia juga sering dikesan pada peringkat lewat kerana kebanyakan pesakit hanya datang menjalani pemeriksaan apabila keadaan menjadi serius.

Justeru, Dr Tan menyarankan setiap individu menjalani pemeriksaan urin dan tekanan darah tinggi sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.
 
1. Hemangioma — ini adalah ketumbuhan paling biasa dijumpai pada kulit yang juga dipanggil tanda lahir. Bagaimanapun, ia juga boleh berlaku pada organ dan tisu lain. Jika berlaku pada buah pinggang, ia boleh menyebabkan hematuria (air kencing berdarah).
 
2. Diabetes Insipidus — simptom penyakit ini sama dengan diebetes mellitus. Gejala paling utama dan ketara ialah kekerapan kencing disebabkan kekurangan hormon anti diuretik (ADH) yang mengawal fungsi buah pinggang untuk menahan air kencing, terutama ketika dehidrasi.

Ia juga boleh disebabkan kegagalan buah pinggang sebagai tindak balas terhadap hormon ADH. Ia juga mungkin berlaku pada individu yang dilahirkan tanpa penerima biokimia badan dalam buah pinggang untuk memberi tindak balas terhadap hormon. Walaupun bunyinya kompleks, jangan risau kerana masalah ini boleh dirawat.

“Sebelum mengalami masalah, lebih baik kita mengambil langkah pencegahan dengan mengawal pemakanan. Diet seimbang memainkan fungsi penting untuk mengelak dan merawat masalah buah pinggang. Jangan lupa minum banyak air supaya buah pinggang boleh berfungsi dengan sempurna,” katanya. 
 
 

No comments:

Post a Comment