Saturday, March 20, 2010

Dialisis Berganda


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

Ketika mengandung, fungsi buah pinggang boleh merosot dengan banyak.


BENARLAH kata orang, kesihatan adalah harta yang tidak ternilai, malah tidak boleh dijual beli. Tidak kira kedudukan, pangkat, miskin atau kaya; kesihatan adalah harta peribadi setiap orang yang perlu dijaga sepanjang hayat.

Kehadiran penyakit yang disebabkan kerosakan atau kegagalan organ boleh mengubah hidup seseorang. Apatah lagi jika kerosakan itu boleh menutup peluang pesakit untuk menyambung zuriatnya.

Inilah hakikat pahit wanita yang menghidap penyakit buah pinggang kronik dan perlu menjalani dialisis sepanjang hayat, kata Pakar Perunding Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Rosnawati Yahya.

Katanya, bagi wanita seperti ini, peluang untuk mengandung sangat tipis kerana kegagalan buah pinggang menjejaskan kesuburan mereka.

Kegagalan buah pinggang kronik boleh berlaku kepada sesiapa saja, termasuk kanak-kanak perempuan.

Berdasarkan Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang 2003, kadar pesakit wanita yang menjalani dialisis meningkat daripada dua kes bagi setiap sejuta penduduk (1980) kepada 90 kes untuk jumlah penduduk sama pada 2003.

Manakala Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Malaysia 2004 mencatatkan seramai 2,500 daripada 100,000 pesakit yang mendapatkan rawatan buah pinggang mengalami kerosakan buah pinggang peringkat akhir.

Pada 2004, sebanyak 2,538 kes baru yang memerlukan dialisis berbanding hanya 43 pesakit pada 1980.

Punca kegagalan buah pinggang kronik pada kanak-kanak dan remaja biasanya tidak diketahui, tetapi di kalangan warga tua (lelaki dan wanita) hampir 54 peratus kes disebabkan kencing manis yang tidak terkawal.

Selain itu, tekanan darah tinggi dikategorikan sebagai faktor risiko kedua utama selepas kencing manis yang boleh menyebabkan penyakit buah pinggang kronik.

Di kalangan wanita muda pula, kegagalan buah pinggang biasanya disebabkan penyakit autoimun Sistemik Lupus Eritomatosus (SLE). Sistem imun badan mereka mengalami kecelaruan sehingga menganggap buah pinggang sebagai bahan asing yang perlu dimusnahkan.

Kegagalan buah pinggang boleh dibahagikan kepada lima peringkat, iaitu :

Peringkat pertama — sangat minimun dan buah pinggang boleh berfungsi dengan normal.

Peringkat kedua — kegagalan buah pinggang yang sedikit.

Peringkat ketiga — kegagalan buah pinggang bersifat sederhana.

Peringkat keempat — serius tetapi pesakit masih belum perlu menjalani dialisis darah.

Peringkat kelima — dikategorikan sebagai kronik dan pesakit perlu menjalani dialisis darah untuk hidup.

Haid

Menurut Dr Rosna, masalah kegagalan buah pinggang tidak banyak berbeza di antara lelaki dan wanita, bezanya wanita perlu memberi perhatian khusus kerana penyakit ini menjejaskan kitaran haid, kehamilan dan menopaus.

Wanita yang menghidap penyakit buah pinggang kronik biasanya mempunyai masalah kitaran haid tidak teratur — yang datang mungkin dua atau tiga bulan sekali. Malah, ada kalanya haid pesakit terhenti terus apabila mereka memulakan rawatan dialisis darah.

Mungkin ramai tidak sedar kitaran haid sebenarnya bergantung kepada tahap kesihatan badan. Jika badan tidak sihat, kitaran haid akan berubah, menjadi tidak normal dan mungkin berhenti.

“Ramai wanita tidak sedar mereka mengalami masalah kegagalan buah pinggang hinggalah mereka menjalani ujian air kencing ketika pemeriksaan kehamilan. Masalah ini boleh dikesan melalui kehadiran protein (iaitu albumin) dalam air kencing.

“Apabila fungsi buah pinggang hanya tinggal 20 peratus, peluang untuk mengandung sangat tipis, walaupun mereka menjalani dialisis. Ini kerana dialisis tidak dapat bertindak secekap buah pinggang dan masih banyak bahan toksin tertinggal dalam badan yang menghalang pengeluaran telur. Ini sebabnya haid mereka juga menjadi tidak teratur.

“Kitaran haid pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat pertama dan kedua tidak terjejas. Malah, penyakit ini juga tiada gejala khas yang menyebabkan ramai tidak sedar buah pinggang mereka mengalami kerosakan.

“Justeru, wanita dalam kumpulan pertama dan kedua ini biasanya dibenarkan mengandung tetapi ada syaratnya, iaitu buah pinggang mereka dapat berfungsi dengan baik, tekanan darah terkawal dan kebocoran protein adalah kecil,” katanya.

Kehamilan

Cabaran menjadi ibu bagi pesakit buah pinggang kronik memang hebat kerana kehamilan itu satu tekanan kepada badan. Lazimnya, doktor akan menasihatkan pesakit peringkat ketiga dan keempat supaya tidak mengandung.

Ketika mengandung, fungsi buah pinggang boleh merosot dengan banyak kerana ia perlu bekerja lebih keras daripada sepatutnya.

Jika biasanya pesakit hanya perlu menjalani dialisis darah tiga kali seminggu tetapi apabila mengandung, dialisis perlu dibuat enam kali seminggu selama empat jam setiap sesi.

Rawatan dialisis sebenarnya ada dua jenis iaitu hemodialisis (tiga kali seminggu, empat jam setiap sesi di pusat dialisis) atau dialisis peritoneal (atau CAPD) yang dilakukan sendiri di rumah sebanyak empat kali sehari dengan 30 minit setiap sesi.

Setakat ini, kata Dr Rosnawati, pusat dialisis HKL belum pernah menerima pesakit wanita hamil yang menjalankan CAPD. Namun, kajian di Amerika Syarikat mendapati, kedua-dua kaedah selamat digunakan.

Biasanya, pesakit tidak menghadapi masalah untuk menjalani dialisis hinggalah apabila kandungan memasuki trimester ketiga iaitu apabila perut semakin membesar.

Ramai pesakit tidak sedar mereka mengandung kerana kitaran haid tidak teratur. Kehamilan hanya disedari apabila mereka menjalankan pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan.

Justeru, pesakit yang ingin mengandung perlu mendapatkan nasihat doktor bagi membolehkan kesihatan mereka dipantau sepanjang kehamilan.

Ini kerana kehamilan boleh memburukkan keadaan penyakit yang dihidapi, di samping masalah tekanan darah tinggi.

Ada tiga risiko yang boleh dialami pesakit ketika mengandung iaitu:
1. Tekanan darah menjadi lebih tinggi dan sukar dikawal.
2. Kebocoran protein meningkat.
3. Fungsi buah pinggang mungkin merosot kerana ia terpaksa bekerja untuk dua orang (ibu dan anak).

“Apabila seseorang itu disahkan mengalami penyakit buah pinggang kronik, pesakit perlu makan ubat seperti ace-inhibitor untuk menghentikan kerosakan daripada terus berlaku.

“Pesakit perlu menghentikan pengambilan ubat ini dan ditukar dengan ubat lain kerana ace-inhibitor boleh memberi kesan negatif kepada buah pinggang bayi dalam kandungan.

“Pesakit SLE juga perlu berbincang dengan doktor jika ingin mengandung. Kebanyakan ubat SLE seperti cyclophosphamide boleh menjejaskan fungsi buah pinggang bayi.

“Untuk keselamatan, biasanya pesakit hanya dibenarkan mengandung sekurang-kurangnya dua tahun selepas dos terakhir cyclophosphamide. Dalam tempoh ini, pesakit disaran mengamalkan perancangan keluarga dan kaedah paling selamat ialah menggunakan kondom,” katanya.

Kaedah pencegahan kehamilan lain yang selamat ialah alat intra-uterin (IUD) dan implan hormon progesteron. Pil perancang serta implan mengandungi gabungan hormon estrogen dan progesteron tidak disarankan kerana ia boleh menyebabkan masalah tekanan darah tinggi menjadi lebih teruk.
Kehamilan di kalangan pesakit buah pinggang kronik yang perlu menjalani dialisis jarang berlaku kerana tahap kesuburan mereka sangat rendah.

Bagaimanapun, pesakit masih boleh mengandung dan tiada siapa boleh menafikan hak mereka untuk mendapat anak, tetapi risikonya lebih tinggi, sama ada pada ibu atau bayi.

Bayi yang dikandung biasanya lebih kecil dan mungkin dilahirkan tidak cukup bulan (pra matang) kerana ibu mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Dr Rosnawati berkata, tahap kesuburan pesakit boleh pulih seperti sediakala jika mendapat buah pinggang baru. Walaupun mendapat buah pinggang baru dan kesuburan kembali ke tahap normal, pesakit dinasihatkan menunggu sekurang-kurangnya dua tahun selepas pembedahan untuk mengandung.

“Memang pesakit perlu mengambil ubat untuk memastikan badan dapat menerima buah pinggang baru. Risiko penolakan buah pinggang boleh berlaku bila-bila masa, walaupun anda menerima buah pinggang daripada emak dan adik beradik.

“Hanya buah pinggang daripada kembar seiras yang serasi dengan badan penerima. Ini sebabnya pesakit disaran menunggu dua tahun supaya buah pinggang baru benar-benar stabil.

“Doktor tidak boleh menghalang hasrat pesakit yang ingin mengandung. Namun sebaik-baiknya bincang dengan doktor terlebih dulu. Ia penting supaya doktor boleh menggantikan ubat yang diambil sebelum mengandung dengan ubat lain untuk memastikan ibu dan anak selamat,” katanya.

Sepanjang kehamilan, pesakit akan dibekalkan dengan multivitamin, zat besi, folat, vitamin B12, kalsium untuk mengurangkan kadar fosfat dalam darah dan ubat mengawal tekanan darah tinggi.

Menopaus 
Pesakit buah pinggang kronik umumnya lebih cepat menopaus berbanding wanita lain. Dialisis hanya berfungsi untuk menapis darah daripada bahan toksik, tetapi ia tidak dapat menggantikan fungsi buah pinggang untuk menghasilkan hormon.

Secara semula jadinya badan kurang menghasilkan hormon apabila menopaus. Jadi masalah kekurangan hormon semakin meruncing di kalangan pesakit buah pinggang kronik yang putus haid. Risiko mereka untuk mendapat penyakit jantung dan osteoporosis adalah lebih tinggi.

Pesakit yang menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang juga berisiko tinggi mendapat osteoporosis kerana ubat yang diambil boleh memberi kesan kepada tulang.

Justeru, pesakit perlu memastikan mereka mendapat bekalan kalsium harian yang cukup, sama ada melalui makanan atau pil kalsium. Lebih baik jika mereka dapat menjalani pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap. 

No comments:

Post a Comment