Saturday, March 20, 2010

KARANG DI BUAH PINGGANG

Oleh
NURUL ANUAR KARI

Rasa sakit akibat batu karang berpunca daripada tindak balas kembang-kecut buah pinggang (tekanan).

TANGGAL 12 Mac bukan sahaja menandakan sambutan Hari Glaukoma Sedunia, malahan turut menjadi tarikh untuk sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia.

Walaupun diabetes dan tekanan darah tinggi merupakan antara punca utama kerosakan buah pinggang, terdapat juga masalah lain yang boleh menjejaskan fungsi organ penapisan ini.

Penyakit batu karang dilihat semakin kerap berlaku di kalangan penduduk negara ini dan berisiko merosakan struktur sel dan tisu buah pinggang, yang tidak dapat pulih atau tumbuh kembali.

Walaupun lebih melibatkan pemakanan (kualiti makanan) dan gaya hidup penduduk di negara industri atau negara maju, batu karang sebenarnya telah lama wujud.

Kajian tamadun kuno beribu tahun dahulu menunjukkan terdapat alat bedah membuang batu dan juga rawatan tradisional berbeza (mengikut tamadun) untuk batu karang.

Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr. Jamil Merican menjelaskan penyakit yang sering disangka tiada perbezaan ini sebenarnya mempunyai beberapa jenis dan bentuk.

“Penyakit batu karang sebenarnya tidak berlaku dalam keadaan atau memerlukan kaedah rawatan yang sama bagi setiap individu.

“Batu karang boleh terbentuk di mana-mana bahagian sistem perkumuhan, sama ada di buah pinggang, salur kencing (ureter) atau pundi kencing,” katanya.

Beliau menyatakan batu biasanya terbentuk di dalam buah pinggang dan terdiri daripada kombinasi beberapa jenis garam galian.

PUNCA DAN TANDA

Antara fungsi utama buah pinggang adalah menapis air dan garam galian berlebihan dari badan. Lama-kelamaan, proses ini menyebabkan mendapan yang membawa kepada pembentukan batu karang.

Dr. Jamil memaklumkan terdapat dua proses dalam pembentukan batu karang iaitu pengkristalan (membentuk kristal) dan agregasi (pemendapan).

“Dalam keadaan normal, terdapat bahan atau faktor tertentu yang menghalang dua proses ini berlaku (seperti magnesium, citrate, nephrocalcin dan temmhorsfallprotein).

“Namun, atas sebab-sebab yang kurang difahami, dan juga kekurangan faktor-faktor tersebut, pembentukan batu karang berlaku dengan lebih pantas,” ujarnya.

Beliau turut mengaitkan beberapa tabiat yang meningkatkan risiko pembentukan batu karang seperti tabiat minum, makan, menahan kencing dan juga faktor keturunan,

Tambahnya, pengambilan cecair yang tidak mencukupi, makanan tinggi mineral dan garam galian serta menahan diri dari ke tandas hanya mempercepatkan pembentukan batu karang. Sejarah keluarga dengan penyakit ini pula menambah risiko kebarangkalian seseorang menghidapnya kelak.

Terdapat juga beberapa risiko sampingan yang menyumbang kepada masalah berkenaan seperti badan menyimpan lebih garam galian atau masalah endokrin dan metabolisme.

Namun, ia masih sukar diagak kerana banyak faktor yang memainkan peranan, terutamanya jumlah pengambilan air mencukupi, aktiviti harian dan keturunan.

Penyakit ini juga mungkin mengelirukan jika sesorang tidak pernah mengalami simptomnya sebelum ini.

Menurut Dr. Jamil, antara tanda kehadiran batu karang adalah rasa sakit dari bahagian bawah abdomen ke bahagian belakang pinggang.

“Rasa sakit yang teramat sangat ini akan berlanjutan untuk beberapa jam tetapi jelas ia bukan akibat pergerakan atau masalah otot.

“Terdapat sebilangan pesakit yang menggambarkannya seperti ‘hendak putus nyawa’ dan ada di antara mereka turut mengalami gejala sampingan lain,” jelasnya.

Beliau menyatakan pesakit mungkin sakit sehingga ingin muntah, rasa seperti ingn membuang air besar atau sakit sehingga ke skrotum (jika batu di bahagian bawah salur kencing).

Selain itu katanya, pesakit juga mungkin semakin kerap membuang air kecil, megalami jangkitan salur kencing atau kencing berdarah.

Kencing berdarah boleh dikesan melalui mata kasar jika banyak atau secara mikroskopik jika sedikit.

MENGESAN

Batu karang tidak semestinya hanya dikesan selepas timbulnya gejala atau rasa sakit.

Dr. Jamil memaklumkan Pakar Urologi boleh menjalankan siasatan rapi yang dapat mengesan dan meramal jenis batu yang terbentuk.

“Kebiasannya golongan antara umur 30 hingga 50-an, terutamanya lelaki, lebih kerap menghidap batu karang.

“Selain itu, sifat kerjaya (banyak peluh, panas atau dalam pejabat) pengambilan ubat, pemakanan dan sejarah keluarga juga memberi kesan,” katanya.

Menurut beliau, batu mungkin dapat dikesan melalui kehadiran kristal, sel darah putih dan darah merah serta jangkitan kuman di dalam air kencing.

Selain itu, ujian darah untuk fungsi buah pinggang, kandungan garam galian dalam badan dan ultrasound juga dapat membantu.

Ujian lebih khusus seperti intravenus urografi (IVU) iaitu sejenis imbasan sinar-X dengan ubat kontras atau ujian CT urografi (CTU) dapat membantu mengesan batu tersebut.

Dr. Jamil menegaskan ujian-ujian yang dijalankan memastikan kedudukan dan saiz batu, di samping komplikasi lain seperti jangkitan kuman atau salur kencing tersumbat bagi menentukan kaedah rawatan paling sesuai.

RAWATAN

Tamadun-tamadun kuno dilihat mempunyai bermacam kaedah rawatan untuk batu karang, tetapi kebiasannya melibatkan meminum air rebusan akar atau daun tertentu.

Ini menunjukkan mereka memahami asas rawatan melibatkan penggunaan air.

Badan manusia kehilangan air melalui air kencing, peluh dan pernafasan (wap air). Jika cuaca sejuk dan sukar berpeluh, kebanyakan air dibuang melalui air kencing, meningkatkan kekerapan anda ke tandas.

Oleh kerana kekurangan air boleh menyebabkan mendapan, jumlah air yang mencukupi amat penting bagi mengelakkan batu karang terbentuk.

Bagaimanapun, Dr. Jamil menjelaskan perkembangan teknologi kini telah memberi banyak pilihan rawatan, mengikut keadaan pesakit.

“Teknologi kini jauh berbeza dah telah berkembang sejak 1980-an. Antaranya termasuklah penggunaan fiber optik dan teknologi shockwave (ESWL).

“Rawatan kena ikut saiz dan kedudukan batu. Bagi pesakit yang mengalami jangkitan kuman, masalah itu akan dirawat serentak dengan masalah batu karang,” jelasnya.

Beliau memaklumkan jangkitan kuman lebih mudah berlaku di kalangan penghidap diabetes dan tekanan darah tinggi. Ini berikutan pembentukan batu menjadi perang mudah untuk kuman, dan mungkin akan memerlukan rawatan yang lebih agresif.

PENCEGAHAN

Dalam mencegah pembentukan batu karang, gaya hidup, pemakanan dan pengambilan air ditekankan. Kurangkan makanan yang tinggi kandungan asid urik seperti ikan bilis, udang, kerang-kerangan, organ dalaman dan juga kekacang.

Kurangkan juga bukan bermaksud berhenti terus. Pesakit boleh menikmati hidangan terbabit dalam jarak tempoh tertentu bagi mengelakkan pengumpulan asid urik.

Dr. Jamil menegaskan, bukan hanya asid urik, pengambilan garam galian juga perlu dipantau supaya seimbang, tidak berlebihan tetapi masih cukup untuk keperluan badan.
 
“Amalkan juga pengambilan air secukupnya, mengikut gaya hidup dan pekerjaan. Jika anda sihat, ambil sekitar 1.5 liter sehari tetapi jika mempunyai penyakit tertentu, rujuk kepada doktor untuk nasihat.

“Terlalu banyak air juga membahayakan kesihatan. Jumlah yang mencukupi dapat dilihat melalui air kencing yang jernih,” katanya.

Jelas beliau, air kencing yang pekat menandakan kekurangan air, terutamanya bagi mereka yang kuat berpeluh atau banyak menjalankan aktiviti fizikal.

Tambahnya, selain air yang mencukupi, aturan membuang air kecil juga penting mengikut keperluan dan perlu dielakkan daripada menahan air kencing.
 
Bagi pesakit yang kerap menghidap batu karang, kajian terperinci perlu dijalankan bagi mengesan punca dan juga bagi memudahkan pencegahan. Pemeriksaan darah, kandungan garam galian dan metabolit, cara pemakanan serta fungsi endokrin mungkin dapat membantu.
 
Apa yang paling utama adalah mengelakkan berlakunya kerosakan tisu kerana buah pinggang tidak boleh tumbuh semula. Sebarang kerosakan adalah kekal dan mungkin semakin teruk kelak.

Elakkan daripada menghadapi risiko kerosakan buah pinggang dan dapatkan rawatan segera jika menghadapi masalah kesihatan, termasuklah untuk batu karang.

SELAMATKAN BUAH PINGGANG DARIPADA HIPERTENSI

 
SEMPENA Hari Hipertensi Sedunia 2008, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan ingin menerangkan kaitan antara tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

James, 40, seorang yang ringkas dan tidak banyak menghadapi masalah atau tekanan yang mengganggu kehidupannya. Namun, semuanya berubah apabila beliau dikenalpasti menghidapi tekanan darah tinggi. Pemeriksaan lanjut mengesahkan yang beliau telah lama mengalami keadaan tersebut dan buah pinggang beliau juga mula menunjukkan tanda-tanda kerosakan.

Fatimah pula mendapat tahu yang beliau mempunyai penyakit buah pinggang melalui ujian air kencing ketika berumur 36 tahun. Beberapa tahun kemudian, beliau menghidapi tekanan darah tinggi yang mana doktor percaya ia akibat daripada kegagalan buah pinggangnya. Fatimah akhirnya menjalani rawatan dialisis dan meninggal dunia selepas mengalami strok baru-baru ini.

Hipertensi (tekanan darah tinggi) telah menjadi satu epidemik global dengan 1.5 bilion penduduk dunia menghidapinya.

Dalam tahun 2006, 42.6 peratus rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas dianggarkan menghidap hipertensi tetapi hanya 26 peratus daripada mereka yang menerima rawatan berupaya mengawal tekanan darah mereka.

Selain sering dikaitkan dengan strok dan serangan jantung, hipertensi juga berkait rapat dengan buah pinggang.

Hipertensi yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kerosakan kepada buah pinggang dan sebaliknya juga penyakit buah pinggang boleh menyebabkan hipertensi menjadi bertambah buruk.

KAITAN BUAH PINGGANG - TEKANAN DARAH

Tekanan darah merujuk kepada keupayaan darah menolak ke arah dinding arteri sementara ia bergerak ke seluruh tubuh yang dikawal oleh buah pinggang.

Buah pinggang bertindak menyingkirkan garam dan cecair berlebihan daripada darah bagi mengurangkan beban tekanan darah. Selain daripada itu, ia juga mengekalkan garam dan air untuk meningkatkan tekanan darah yang rendah.

Bagi mereka yang menghidapi hipertensi essential (sebab-sebab tidak dikenalpasti), tekanan darah tinggi yang berlanjutan boleh merosakkan salur darah dan alat penapis di dalam buah pinggang. Ini akan memberi kesan kepada keupayaan buah pinggang menyingkirkan bahan buangan daripada badan.

Tanda-tanda hipertensi berkaitan dengan penyakit buah pinggang termasuklah pengurangan jumlah air kencing (sama ada kesukaran untuk membuang air kecil atau kekerapan membuang air, terutamanya pada waktu malam), dan kaki bengkak akibat pengumpulan cecair dalam badan (oedema).

Hipertensi sekunder pula terjadi akibat daripada masalah dalam buah pinggang itu sendiri. Salah satu penyebab dari jenis hipertensi (hipertensi renal) adalah pengurangan bekalan darah kepada buah pinggang akibat ateriosklerosis (arteri renal tersumbat akibat pengumpulan lemak dan kolesterol membentuk plak pada dinding saluran darah).

Akibat kekurangan darah, buah pinggang dan kelenjar adrenal (yang terletak di atas buah pinggang) bertindakbalas dengan menghasilkan hormon-hormon tertentu yang meningkatkan tekanan darah.

Hipertensi renal biasanya dikenalpasti apabila tekanan darah tinggi berlaku di kalangan individu yang lebih muda atau tekanan darah tinggi peringkat awal berlaku di kalangan mereka yang lebih tua.

PENJAGAAN BUAH PINGGANG

Menurut Perunding Nefrologi yang juga Ahli Lembaga Pengurusan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Dr Goh Bak Leong, hipertensi merupakan penyebab kedua terbanyak yang menyumbang kepada penyakit buah pinggang peringkat akhir. Lebih penting lagi, tekanan darah yang tidak terkawal akan mempercepatkan perkembangan penyakit kegagalan buah pinggang.

“Masalahnya, seseorang boleh menghidapi hipertensi dan (atau) penyakit buah pinggang tanpa sebarang simptom,” katanya.

Oleh sebab itu, amat penting untuk mengetahui sama ada kita mempunyai hipertensi atau tidak. “Semua orang dewasa seharusnya mengukur tekanan darah mereka dengan teratur. Purata tekanan darah pada siang hari seharusnya di bawah 135/85 milimeter Merkuri (mmHg) dan rawatan diperlukan untuk tekanan yang lebih tinggi daripada itu.

“Mereka yang mempunyai diabetes atau penyakit buah pinggang juga perlu dirawat sebagai pesakit hipertensi jika tekanan darah mereka melebihi 130/80 mmHg,” ujar Dr. Goh.

Beliau menawarkan beberapa cara bagaimana penghidap tekanan darah tinggi boleh meningkatkan kadar keberkesanan rawatan. “Gunakan alat monitor (pemantau) tekanan darah di rumah bagi memeriksa bacaan anda setiap hari. Kurangkan juga pengambilan garam, sos dan bahan perisa yang mengandungi sodium tinggi.

“Pilih makanan yang sihat, lakukan aktiviti fizikal dan kurangkan berat berlebihan kerana pengurangan kecil antara lima hingga 10 peratus berat badan boleh mengurangkan tekanan darah tinggi,” jelasnya.

Katanya, pengambilan alkohol juga perlu dielakkan atau sekurang-kurangnya dihadkan jumlahnya di samping tidak merokok dan belajar menguruskan tekanan (stres).

Menurut Dr Goh, mereka yang menghidap tekanan darah tinggi juga perlu menilai fungsi buah pinggang dengan teratur.

“Ujian ringkas terhadap air kencing (urin) boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran proteinuria (protein dalam urin).

“Jika disyaki menghidap penyakit buah pinggang, beberapa ujian makmal lain akan dilakukan bagi mengesahkan sama ada buah pinggang masih berfungsi dengan baik. Ujian-ujian ini termasuklah serum kreatinin dan nitrogen urea darah (BUN) yang boleh menunjukkan kerosakan buah pinggang jika hasil ujian menunjukkan kadar yang tinggi,” tegas beliau.

Mereka yang mempunyai diabetes dinasihatkan mengambil ujian urin mikroalbuminuria bagi mengenalpasti kehadiran molekul kecil protein.

Pengerusi Ahli Lembaga Pegurusan NKF, Dr. SS Gill menekankan bahawa amat penting untuk tidak mengambil mudah akan hipertensi dan penyakit buah pinggang.

“Selepas diabetes, hipertensi adalah penyebab kedua terpenting kepada penyakit buah pinggang peringkat akhir. Mereka yang menghidap kedua-dua hipertensi dan penyakit buah pinggang berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi.

“Bagi mereka, langkah yang penting adalah untuk mengawal tekanan darah. Sekiranya gagal dikawal, mereka mungkin akan menghabiskan hidup dengan bergantung kepada dialisis,” katanya.

Mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu bagi menapis bahan buangan di dalam darah. Setakat ini, kos rawatan di hospital swasta adalah RM3,000 sebulan dan dialisis juga merupakan rawatan seumur hidup yang berkos tinggi.

Oleh kerana beban kos yang tinggi, NKF menyediakan rawatan subsidi dialisis kepada pesakit yang miskin melalui 20 pusat rawatan seluruh negara. NKF juga menawarkan perubatan dan sokongan kebajikan sosial kepada pesakit.

“Peningkatan kelaziman kes hipertensi perlu dititikberatkan kerana penyakit ini bertanggungjawab meningkatkan jumlah pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir seperti yang dapat kita lihat setiap tahun.

Dialisis Berganda


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

Ketika mengandung, fungsi buah pinggang boleh merosot dengan banyak.


BENARLAH kata orang, kesihatan adalah harta yang tidak ternilai, malah tidak boleh dijual beli. Tidak kira kedudukan, pangkat, miskin atau kaya; kesihatan adalah harta peribadi setiap orang yang perlu dijaga sepanjang hayat.

Kehadiran penyakit yang disebabkan kerosakan atau kegagalan organ boleh mengubah hidup seseorang. Apatah lagi jika kerosakan itu boleh menutup peluang pesakit untuk menyambung zuriatnya.

Inilah hakikat pahit wanita yang menghidap penyakit buah pinggang kronik dan perlu menjalani dialisis sepanjang hayat, kata Pakar Perunding Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Rosnawati Yahya.

Katanya, bagi wanita seperti ini, peluang untuk mengandung sangat tipis kerana kegagalan buah pinggang menjejaskan kesuburan mereka.

Kegagalan buah pinggang kronik boleh berlaku kepada sesiapa saja, termasuk kanak-kanak perempuan.

Berdasarkan Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang 2003, kadar pesakit wanita yang menjalani dialisis meningkat daripada dua kes bagi setiap sejuta penduduk (1980) kepada 90 kes untuk jumlah penduduk sama pada 2003.

Manakala Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Malaysia 2004 mencatatkan seramai 2,500 daripada 100,000 pesakit yang mendapatkan rawatan buah pinggang mengalami kerosakan buah pinggang peringkat akhir.

Pada 2004, sebanyak 2,538 kes baru yang memerlukan dialisis berbanding hanya 43 pesakit pada 1980.

Punca kegagalan buah pinggang kronik pada kanak-kanak dan remaja biasanya tidak diketahui, tetapi di kalangan warga tua (lelaki dan wanita) hampir 54 peratus kes disebabkan kencing manis yang tidak terkawal.

Selain itu, tekanan darah tinggi dikategorikan sebagai faktor risiko kedua utama selepas kencing manis yang boleh menyebabkan penyakit buah pinggang kronik.

Di kalangan wanita muda pula, kegagalan buah pinggang biasanya disebabkan penyakit autoimun Sistemik Lupus Eritomatosus (SLE). Sistem imun badan mereka mengalami kecelaruan sehingga menganggap buah pinggang sebagai bahan asing yang perlu dimusnahkan.

Kegagalan buah pinggang boleh dibahagikan kepada lima peringkat, iaitu :

Peringkat pertama — sangat minimun dan buah pinggang boleh berfungsi dengan normal.

Peringkat kedua — kegagalan buah pinggang yang sedikit.

Peringkat ketiga — kegagalan buah pinggang bersifat sederhana.

Peringkat keempat — serius tetapi pesakit masih belum perlu menjalani dialisis darah.

Peringkat kelima — dikategorikan sebagai kronik dan pesakit perlu menjalani dialisis darah untuk hidup.

Haid

Menurut Dr Rosna, masalah kegagalan buah pinggang tidak banyak berbeza di antara lelaki dan wanita, bezanya wanita perlu memberi perhatian khusus kerana penyakit ini menjejaskan kitaran haid, kehamilan dan menopaus.

Wanita yang menghidap penyakit buah pinggang kronik biasanya mempunyai masalah kitaran haid tidak teratur — yang datang mungkin dua atau tiga bulan sekali. Malah, ada kalanya haid pesakit terhenti terus apabila mereka memulakan rawatan dialisis darah.

Mungkin ramai tidak sedar kitaran haid sebenarnya bergantung kepada tahap kesihatan badan. Jika badan tidak sihat, kitaran haid akan berubah, menjadi tidak normal dan mungkin berhenti.

“Ramai wanita tidak sedar mereka mengalami masalah kegagalan buah pinggang hinggalah mereka menjalani ujian air kencing ketika pemeriksaan kehamilan. Masalah ini boleh dikesan melalui kehadiran protein (iaitu albumin) dalam air kencing.

“Apabila fungsi buah pinggang hanya tinggal 20 peratus, peluang untuk mengandung sangat tipis, walaupun mereka menjalani dialisis. Ini kerana dialisis tidak dapat bertindak secekap buah pinggang dan masih banyak bahan toksin tertinggal dalam badan yang menghalang pengeluaran telur. Ini sebabnya haid mereka juga menjadi tidak teratur.

“Kitaran haid pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat pertama dan kedua tidak terjejas. Malah, penyakit ini juga tiada gejala khas yang menyebabkan ramai tidak sedar buah pinggang mereka mengalami kerosakan.

“Justeru, wanita dalam kumpulan pertama dan kedua ini biasanya dibenarkan mengandung tetapi ada syaratnya, iaitu buah pinggang mereka dapat berfungsi dengan baik, tekanan darah terkawal dan kebocoran protein adalah kecil,” katanya.

Kehamilan

Cabaran menjadi ibu bagi pesakit buah pinggang kronik memang hebat kerana kehamilan itu satu tekanan kepada badan. Lazimnya, doktor akan menasihatkan pesakit peringkat ketiga dan keempat supaya tidak mengandung.

Ketika mengandung, fungsi buah pinggang boleh merosot dengan banyak kerana ia perlu bekerja lebih keras daripada sepatutnya.

Jika biasanya pesakit hanya perlu menjalani dialisis darah tiga kali seminggu tetapi apabila mengandung, dialisis perlu dibuat enam kali seminggu selama empat jam setiap sesi.

Rawatan dialisis sebenarnya ada dua jenis iaitu hemodialisis (tiga kali seminggu, empat jam setiap sesi di pusat dialisis) atau dialisis peritoneal (atau CAPD) yang dilakukan sendiri di rumah sebanyak empat kali sehari dengan 30 minit setiap sesi.

Setakat ini, kata Dr Rosnawati, pusat dialisis HKL belum pernah menerima pesakit wanita hamil yang menjalankan CAPD. Namun, kajian di Amerika Syarikat mendapati, kedua-dua kaedah selamat digunakan.

Biasanya, pesakit tidak menghadapi masalah untuk menjalani dialisis hinggalah apabila kandungan memasuki trimester ketiga iaitu apabila perut semakin membesar.

Ramai pesakit tidak sedar mereka mengandung kerana kitaran haid tidak teratur. Kehamilan hanya disedari apabila mereka menjalankan pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan.

Justeru, pesakit yang ingin mengandung perlu mendapatkan nasihat doktor bagi membolehkan kesihatan mereka dipantau sepanjang kehamilan.

Ini kerana kehamilan boleh memburukkan keadaan penyakit yang dihidapi, di samping masalah tekanan darah tinggi.

Ada tiga risiko yang boleh dialami pesakit ketika mengandung iaitu:
1. Tekanan darah menjadi lebih tinggi dan sukar dikawal.
2. Kebocoran protein meningkat.
3. Fungsi buah pinggang mungkin merosot kerana ia terpaksa bekerja untuk dua orang (ibu dan anak).

“Apabila seseorang itu disahkan mengalami penyakit buah pinggang kronik, pesakit perlu makan ubat seperti ace-inhibitor untuk menghentikan kerosakan daripada terus berlaku.

“Pesakit perlu menghentikan pengambilan ubat ini dan ditukar dengan ubat lain kerana ace-inhibitor boleh memberi kesan negatif kepada buah pinggang bayi dalam kandungan.

“Pesakit SLE juga perlu berbincang dengan doktor jika ingin mengandung. Kebanyakan ubat SLE seperti cyclophosphamide boleh menjejaskan fungsi buah pinggang bayi.

“Untuk keselamatan, biasanya pesakit hanya dibenarkan mengandung sekurang-kurangnya dua tahun selepas dos terakhir cyclophosphamide. Dalam tempoh ini, pesakit disaran mengamalkan perancangan keluarga dan kaedah paling selamat ialah menggunakan kondom,” katanya.

Kaedah pencegahan kehamilan lain yang selamat ialah alat intra-uterin (IUD) dan implan hormon progesteron. Pil perancang serta implan mengandungi gabungan hormon estrogen dan progesteron tidak disarankan kerana ia boleh menyebabkan masalah tekanan darah tinggi menjadi lebih teruk.
Kehamilan di kalangan pesakit buah pinggang kronik yang perlu menjalani dialisis jarang berlaku kerana tahap kesuburan mereka sangat rendah.

Bagaimanapun, pesakit masih boleh mengandung dan tiada siapa boleh menafikan hak mereka untuk mendapat anak, tetapi risikonya lebih tinggi, sama ada pada ibu atau bayi.

Bayi yang dikandung biasanya lebih kecil dan mungkin dilahirkan tidak cukup bulan (pra matang) kerana ibu mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Dr Rosnawati berkata, tahap kesuburan pesakit boleh pulih seperti sediakala jika mendapat buah pinggang baru. Walaupun mendapat buah pinggang baru dan kesuburan kembali ke tahap normal, pesakit dinasihatkan menunggu sekurang-kurangnya dua tahun selepas pembedahan untuk mengandung.

“Memang pesakit perlu mengambil ubat untuk memastikan badan dapat menerima buah pinggang baru. Risiko penolakan buah pinggang boleh berlaku bila-bila masa, walaupun anda menerima buah pinggang daripada emak dan adik beradik.

“Hanya buah pinggang daripada kembar seiras yang serasi dengan badan penerima. Ini sebabnya pesakit disaran menunggu dua tahun supaya buah pinggang baru benar-benar stabil.

“Doktor tidak boleh menghalang hasrat pesakit yang ingin mengandung. Namun sebaik-baiknya bincang dengan doktor terlebih dulu. Ia penting supaya doktor boleh menggantikan ubat yang diambil sebelum mengandung dengan ubat lain untuk memastikan ibu dan anak selamat,” katanya.

Sepanjang kehamilan, pesakit akan dibekalkan dengan multivitamin, zat besi, folat, vitamin B12, kalsium untuk mengurangkan kadar fosfat dalam darah dan ubat mengawal tekanan darah tinggi.

Menopaus 
Pesakit buah pinggang kronik umumnya lebih cepat menopaus berbanding wanita lain. Dialisis hanya berfungsi untuk menapis darah daripada bahan toksik, tetapi ia tidak dapat menggantikan fungsi buah pinggang untuk menghasilkan hormon.

Secara semula jadinya badan kurang menghasilkan hormon apabila menopaus. Jadi masalah kekurangan hormon semakin meruncing di kalangan pesakit buah pinggang kronik yang putus haid. Risiko mereka untuk mendapat penyakit jantung dan osteoporosis adalah lebih tinggi.

Pesakit yang menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang juga berisiko tinggi mendapat osteoporosis kerana ubat yang diambil boleh memberi kesan kepada tulang.

Justeru, pesakit perlu memastikan mereka mendapat bekalan kalsium harian yang cukup, sama ada melalui makanan atau pil kalsium. Lebih baik jika mereka dapat menjalani pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap. 

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penyakit Buah Pinggang


Terdapat dua jenis penyakit buah pinggang iaitu; akut (secara tiba-tiba), dan kronik (kekal untuk tempoh yang panjang).

Akut (Acute)

Biasanya berpunca daripada trauma yang serius contohnya akibat kemalangan, luka terbakar yang serius atau luka yang menyebabkan kehilangan darah yang banyak dan juga disebabkan pengambilan bahan-bahan beracun. Pesakit biasanya akan sembuh sekiranya rawatan awal diberikan dan pesakit tidak mempunyai apa-apa masalah buah pinggang sebelum ini.

Kronik

Kegagalan buah pinggang yang kronik, atau Chronic Renal Failure (CRF) boleh disebabkan oleh beberapa keadaan seperti:
 
1. Perubahan pada buah pinggang yang berpunca daripada tekanan darah tinggi atau kencing manis (diabetes)
 
2. Saluran air kencing yang tersumbat (contohnya berpunca daripada tumor atau pembesaran kelenjar prostat lelaki)
 
3. Pembengkakan/keradangan atau jangkitan glomerulus disebabkan oleh penyakit seperti lupus (glomerulus adalah sebahagian daripada buah pinggang)

4. Penyakit-penyakit keturunan seperti penyakit buah pinggang polisistik.
 
5. Penyalahgunaan dadah berlebihan.

Proses kerosakan buah pinggang akan berlaku dari masa ke semasa secara berterusan walaupun rawatan dan diet yang sepatutnya telah diberikan. Ini disebabkan semakin banyak tisu-tisu buah pinggang yang akan mati dan membawa kepada kerosakan buah pinggang yang bertambah teruk. Apabila fungsi buah pinggang telah gagal sepenuhnya ia dinamakan kerosakan buah pinggang peringkat akhir atau End State Renal Failure (ESRF). Pada peringkat ini, pesakit hanya boleh memilih sama ada untuk menerima rawatan secara dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Apakah Dialisis?
Dialisis adalah satu proses di mana kekotoran di dalam darah yang selalunya dibersihkan oleh buah pinggang, telah diambil alih oleh mesin dan tiub-tiub yang mengandungi cecair khas, melalui proses penapisan separa telus (semi-permeable). Terdapat dua jenis dialisis iaitu :

1. Hemodialisis

2. Dialisis Peritoneal

Hemodialisis

Ia adalah satu cara penapisan darah melalui tiub-tiub dan mesin di mana darah akan dialirkan keluar melalui fistula atau salur darah yang terletak di bawah bahagian lengan. Pesakit perlu melalui proses dialisis ini dua hingga tiga kali seminggu.

Dialisis Peritoneal

Dalam dialisis peritoneal, membran peritoneal tubuh digunakan untuk menapis bahan-bahan sisa dari tubuh. Melalui tiub besar yang dipasangkan secara pembedahan kecil di dalam ruang abdomen, maka proses penapisan kekotoran akan berlaku di dalam tubuh. Proses ini perlu dilakukan beberapa kali sehari.